Pembunuhan paling tragis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Rakib Hawlader yang didera majikannya yang berang dengan keputusan kanak-kanak itu untuk berhenti dan bekerja dengan syarikat lain pada 3 Ogos lalu.
Majikannya dibantu dua orang pekerjanya termasuk ibu majikan itu dipercayai mendera kanak-kanak tersebut dengan memasukkan pam angin menerusi duburnya dan mengepam angin ke organ berkenaan tanpa belas kasihan, meskipun mangsa merayu mereka menghentikan perbuatan tersebut, dalam satu kejadian di sebuah bengkel motosikal di bandar berkenaan.
Meskipun Rakib diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital dan Kolej Perubatan Khulna, 250 kilometer barat daya Dhaka, kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital akibat ususnya terburai, manakala paru-parunya pecah, membuatkan keluarganya meratapi pemergian anak yang selama ini membantu menyara keluarga tersebut.
Penduduk yang berang kemudiannya menyerbu bengkel berkenaan pada keesokan harinya dan menangkap tiga suspek termasuk pemilik bengkel, Omar Sharif, ibunya, Beauty Begum dan seorang lelaki, Mintu Mia sebelum menyerahkan mereka kepada polis.
Pada masa sama, penduduk Khulna kemudiannya mengadakan tunjuk perasaan aman bagi menuntut keadilan di atas kematian Rakib.
“Kami telah menahan kesemua suspek. Siasatan masih dijalankan dan kami berharap dapat memfailkan kertas pertuduhan terhadap mereka pada hujung bulan ini,’’ kata Komisioner Polis Khulna Metropolitan, kepada portal berita Al Jazeera, semalam.
Menurut kumpulan hak asasi bagi kanak-kanak, Bangladesh Shishu Adhikar Forum (BSAF), sekurang-kurangnya 154 kanak-kanak maut di negara Asia Selatan itu antara Januari dan Jun tahun ini, manakala 292 kanak-kanak dibunuh pada 2014.
Kanak-kanak di Bangladesh didakwa menjadi mangsa pende­raan, rogol, serangan seksual dan pelbagai keganasan lain.
Sehari selepas kematian Rakib, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Sumaiya Akhter meninggal dunia selepas dipercayai dipukul oleh ibu bapanya sendiri yang cuba membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mahir menghalau hantu.