Search This Blog

Friday, August 14, 2015

Bandar industri meletup



IMEJ menunjukkan kesan letupan besar di bandar Tianjin. - AFP


TIANJIN – Beberapa letupan besar di bandar ini menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh, manakala lebih 700 yang lain cedera, lapor media rasmi China semalam.
Letupan itu menyebabkan sebuah kawasan industri di situ hampir musnah sama sekali dengan pemandangan kereta hangus, kontena tumbang dan bangunan terbakar.
Seorang wartawan agensi berita AFP di sini melihat cermin pe­cah sehingga tiga kilometer jauh dari tapak letupan selepas satu kargo bahan letupan meletup dalam sebuah gudang.
Letupan berkenaan membentuk sebuah bebola api besar yang menerangkan waktu malam sebelum ribuan serpihan api menghujani Tianjin.
Rangkaian televisyen CCTV melaporkan pakar peperangan antikimia tentera telah dihantar ke tempat kejadian. Bagaimanapun, punca yang menyebabkan bahan letupan dalam kontena tersebut meletup masih belum diketahui.
Kekuatan letupan pertama yang berlaku beberapa minit sebelum tengah malam semalam (waktu tempatan) menyamai ledakan tiga tan bahan letupan TNT, manakala letupan kedua menyamai ledakan 21 tan bahan letupan, kata Rangkaian Gempa Bumi China melalui laman sosial Weibo.
Letupan itu dapat dirasai sejauh beberapa kilometer dari tempat kejadian, malahan dapat dikesan sebuah satelit cuaca milik Jepun. Imej yang dirakam ketika letupan itu berlaku menunjukkan api meliputi beberapa bangunan berhampiran, manakala deretan kenderaan turut hangus terbakar.
“Ketika saya rasakan gegaran letupan, saya fikir itu cuma gempa bumi. Saya berlari mendapatkan ayah saya sebelum melihat langit menjadi merah, semua cermin telah pecah dan saya berasa sangat takut,” kata penduduk tempatan, Zhang Zhaobo.
Beberapa keping gambar yang diperolehi agensi berita AFP menunjukkan penduduk setempat yang ada antaranya tidak berpakaian lengkap bertempiaran lari mencari tempat perlindungan di jalan raya dipenuhi serpihan daripada letupan tersebut.
Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan ibu pejabat pasukan penyelamat mengesahkan 12 anggota bomba merupakan antara 50 yang terbunuh. Sekumpulan anggota bomba telah berada di tempat kejadian sebelum letupan pertama berlaku bagi memadamkan satu kebakaran.
Xinhua melaporkan lebih 700 mangsa yang cedera telah dimasukkan ke hospital, 66 daripadanya dalam keadaan kritikal. Asap tebal masih menyelubungi bangunan sekitar kawasan tersebut beberapa jam selepas letupan terakhir. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ijoaMo5z 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment