Search This Blog

Friday, August 14, 2015

62 korban serangan IS

Baghdad: Sekurang-kurangnya 62 orang terbunuh apabila sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan diletupkan di kawasan kejiranan penduduk Syiah di sini, semalam.
Kumpulan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian awal pagi semalam itu.
Ia turut memberi amaran akan melakukan lebih banyak serangan seumpama itu untuk menyasarkan penduduk Syiah Iraq.
Menurut polis, trak itu diletupkan di pasar Jameela di kawasan kejiranan Sadr selepas Subuh.
Sekurang-kurangnya 125 orang turut cedera dalam kejadian itu.
Penduduk bergegas membantu mangsa dan dilihat membawa mayat menggunakan beg sampah serta menghantar mereka yang cedera ke hospital dengan ambulans atau kereta sendiri.
Sebahagian besar pasar itu musnah dijilat api dengan gerai, buah serta sayur bertaburan.
Seorang pegawai bomba berkata: “Khamis memang hari sibuk di pasar itu kerana orang ramai datang dari wilayah lain untuk membeli bekalan makanan hujung minggu.”
Katanya, trak yang digunakan dalam serangan adalah jenis sejuk beku menyebabkan pasukan keselamatan sukar untuk membezakannya dengan lori lain yang membawa hasil pertanian ke pasar berkenaan.
Pemandu bas mini, Hassan Hamid, 37, berkata, kenderaan dipandunya tidak jauh dari lokasi itu terlambung 10 meter ke kaki lima akibat letupan itu.
“Letupan itu sungguh kuat. Banyak kereta melambung ke udara,” katanya ketika ditemui di hospital kerana dirawat.
Pegawai hospital mengesahkan jumlah kematian.
Dalam mesej dimuat naik ke akaun Twitter yang ada hubungan dengan IS, kumpulan militan itu mengaku meletupkan trak yang sarat dengan bahan letupan itu di kawasan parkir pasar berkenaan.
Kumpulan itu sering menyasarkan pos kawalan tentera atau kejiranan yang majoriti penduduknya Syiah seperti di Sadr dengan tujuan memberi amaran kepada kerajaan Iraq yang dikuasai penganut Syiah.
Walaupun serangan berlaku hampir setiap hari di ibu negeri itu, jumlah kematian sebanyak semalam jarang berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:38 AM


ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa serangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70239#sthash.MuGOsAaK.dpuf

No comments:

Post a Comment