China Central Television (CCTV) melaporkan, insiden dipercayai berlaku ketika penghantaran bahan letupan ke kawasan itu pada kira-kira pukul 11.30 malam waktu tempatan, dengan letupan pertama turut kedengaran beberapa kilometer dari tempat kejadian diikuti dengan letupan kedua yang lebih kuat 30 saat kemudian.
Akhbar rasmi, People’s Daily melaporkan jumlah kematian meningkat kepada 50 orang, manakala media tempatan memaklumkan sembilan anggota bomba antara yang terkorban semasa menjalankan operasi memadamkan kebakaran ekoran letupan tersebut.
Presiden, Xi Jinping mengarahkan pihak berkuasa segera memadamkan kebakaran akibat letupan itu dan ‘menggerakkan usaha sepenuhnya untuk menyelamatkan dan merawat mangsa yang cedera serta memastikan kese­lamatan nyawa penduduk dan harta benda’, lapor CCTV.
Satu video yang dimuat naik di laman YouTube menunjukkan percikan api dan kepulan asap tebal dilihat memenuhi ruang udara dari sebuah pangsapuri yang terletak beberapa kilometer dari lokasi, diikuti letupan kedua yang lebih kuat yang menggegarkan kawasan sekitar serta mengeluarkan bebola api.
Seorang guru dari Kanada, Monica Andrew, memberitahu BBC, dia terkejut daripada tidur dan menyangkakan kejadian itu sebagai gempa bumi.
“Saya memandang ke luar tingkap dan melihat langit bertukar menjadi merah. Saya semakin panik selepas terdengar letupan kedua yang menyebabkan semua penghuni di pangsapuri kami meninggalkan kediaman kerana menyangkakan gempa bumi berlaku,” ujarnya.
Xinhua melaporkan letupan tersebut turut memusnahkan sebuah gudang yang menyimpan ‘barangan berbahaya’.
Seorang lagi penduduk Tianjin, Liu Yue, 25, berkata, letupan kedua lebih menakutkan selepas bangunan 16 tingkat didudukinya turut merasai gegaran.
Pihak hospital berkata, ramai yang cedera akibat terkena serpihan kaca dan batu dan sebahagian daripada mereka cedera parah.
CCTV dalam laman webnya melaporkan kira-kira 100 kereta bomba dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.
Tianjin merupakan sebuah pelabuhan terbesar di China de­ngan mempunyai penduduk kira-kira 15 juta orang.