Laman web India.com melaporkan, banjir yang berlaku di timur Midnapore, utara dan selatan 24 Parganas, Hooghly, Howrah, Birbhum dan Burdwan telah mengorbankan lebih 40 nyawa penduduk.
Jabatan Meteorologi India (IMD) dalam satu kenyataan menjangkakan, ribut akan akan berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang dan orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
Tambah IMD, nelayan turut dinasihatkan untuk tidak turun ke laut ekoran keadaan ombak yang bergelora dan boleh mengancam nyawa mereka.
“Hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan berhampiran Bengal Barat dan utara Odisha dalam tempoh masa 24 jam akan datang,” jelas IMD.
Sumber berkata, sehingga kini lebih 26,000 orang penduduk yang terjejas akibat banjir telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Selain itu, lebih 227 kem pe-nempatan sementara dibuka di kawasan-kawasan yang terjejas.
“Amaran banjir turut dikeluarkan di lima buah daerah iaitu Jajpur, Mayurbhanj, Keonjhar, Bhadrak dan Balasore. Hujan lebat akibat taufan akan menyebabkan banyak kesusahan kepada penduduk,” kata Pesuruhjaya Operasi Menyelamat, J V Sharma.
Ketua Menteri, Mamata Bannerjee membatalkan lawatan rasminya ke London untuk memantau operasi bantuan.