Lantaran itu, Entis,55, tidak henti mengucapkan syukurnya kepada Allah kerana masih hidup meskipun ditimbus tanah pada kedalaman dua meter.
Namun, dua lagi rakan Entis iaitu Rana Supriatna@Ogin, 35, dan Anang Mirza, 28, tidak bernasib baik selepas maut dalam kejadian tanah runtuh itu ketika mereka menggali bahagian asas bangunan sebuah rumah mewah di Kompleks Pondok Hijau, Kampung Cicarita, RT 01 Rw, Desa Ciwaruga, mukim Parongpong daerah Bandung Barat, Isnin lalu.
“Kira-kira pukul 10.20 pagi, saya sedang bekerja memasang besi pada asas bangunan. Saya dengan Anang dan Rana berada dalam kedudukan satu meter.
“Saya sempat berkata kepada Anang, jangan buat kerja di sini, lebih baik kamu buat kerja 
di bahagian garaj tetapi dia enggan,’’ kata Entis kepada Kompas.com.
Entis berkata, tidak lama kemudian, ketika dia sedang mencangkul tanah, secara tiba-tiba tebing setinggi lapan meter jatuh dan menghempapnya.
Katanya, pada waktu itu, di dalam fikirannya, dia yakin akan selamat dan apa yang dilakukannya hanya berdoa berharap akan keajaiban terjadi.
“Saya sudah berfikir tidak akan selamat kerana nafas saya hampir habis. Selama 15 minit saya menahan nafas dan tidak berhenti berzikir dan beristighfar dalam hati.
“Saya minta pertolongan semoga diberi kesempatan hidup. Saya juga tidak tahu mengapa saya dapat bertahan selama itu,’’ katanya sebak.
Entis berkata, ketika dia merasakan dadanya semakin panas dan tubuhnya mulai lemas, dia secara tiba-tiba mendengar suara teriakan orang yang betul-betul berada di atas kepalanya.
“Saya sudah tidak kuat menahan nafas, saya bernasib baik orang ramai menggali tepat di atas kepala saya, sekali gus menjadikan saya orang pertama diselamatkan.
“Jika terlewat satu minit, saya mungkin sudah tiada,’’ tambahnya.