RANTAU PANJANG - Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Lubok Stol membabitkan tiga kenderaan, pada jam 7.20 pagi semalam.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa, Abdul Kader A Bakar, 66, meninggal dunia di Hospital Pasir Mas manakala isterinya, Senas Salleh, 62, mengalami kecederaan ringan.

Warga emas maut nahas 3 kenderaan
Pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang berusaha mengeluarkan Abdul Kader yang tersepit.
Berdasarkan maklumat awal katanya, mangsa yang beralamat di Kampung Kedap Rantau Panjang, memandu van dari arah Rantau Panjang ke Lubok Stol dan setibanya di tempat kejadian berlaku pertembungan dengan kereta Proton Saga dan Perodua  Alza dari arah bertentangan.

“Abdul Kader mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan patah kedua-dua kaki.

“Sebahagian mangsa lain termasuk Senas mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital yang sama,” katanya.

Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba I (PBK) Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.21 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Setibanya di tempat kejadian kami dapati pemandu van berkenaan tersepit dan mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pemotong ‘hydraulic’.

“Kami menasihati semua pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu berikutan pertambahan bilangan kenderaan menjelang Syawal tidak lama lagi,” katanya.