KEMAMAN - Seorang jurujual wanita di sebuah syarikat perumahan di sini maut setelah motosikal Modenas Kriss yang ditungganginya terbabas di susur keluar Plaza Tol Cheneh, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira 5.40 petang itu, Suriyana Abdullah, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan setelah motosikal berkenaan melanggar pengadang kiri jalan.
Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Kampung Anak Ikan Jerteh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Cheneh Baru setelah selesai bertugas menjaga ruang pameran di sebuah pasar raya di bandar Chukai.
Suami mangsa Mohd Azwan Yusof, 25, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada rakannya mengenai kejadian yang menimpa isterinya itu pada 6.30 petang.
Menurutnya mangsa keluar ke tempat kerjanya pada 10 pagi dan memaklumkan akan berbuka puasa bersama-sama.
Katanya, impian mereka untuk menyambut hari raya buat kali pertama sebagai suami-isteri tahun ini berkecai dengan pemergian arwah buat selama-lamanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Normansah Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa Ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat. – Bernama