Search This Blog

Sunday, July 12, 2015

‘Tak daya melawan pun’

Osman
Klang: “Saya tidak risau meninggalkan arwah isteri (Supik Mohd Yusuf, 80) kerana rumah kami dan anak berhampiran, malah dia jenguk kami setiap hari, namun saya tidak sangka semalam (Khamis) hari terakhir isteri sebelum mati dibunuh,” kata Osman Abdul Aziz, 79.
Dalam kejadian Khamis lalu, Supik maut akibat dijerut di leher dalam kejadian samun di rumahnya.
Osman berkata, arwah isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini menyebabkannya masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu.
Menurutnya, ketika kejadian, dia ke surau berhampiran rumah menunaikan solat Asar dan meninggalkan isteri di rumah kerana uzur.
Katanya, sepanjang Ramadan, dia ke surau menunaikan solat dan membuat persiapan berbuka.
“Tugas saya di surau setiap hari memasak air, membuat air gula serta membancuh teh dan kopi untuk jemaah.
“Saya tidak risau meninggalkan arwah isteri kerana anak sering menjenguk kami,” katanya ditemui di rumahnya.
Katanya, arwah isterinya meminati minum air perisa coklat dan turut membancuh untuknya setiap hari dan kenangan itu terus terpahat dalam sanubarinya hingga akhir hayat.
Sementara itu, anak sulung Osman, Naziah, 53, berkata, tindakan penjenayah itu begitu kejam dan tidak berhati perut kerana sanggup membunuh warga emas yang tidak berdaya.
“Kalau dia (penjenayah) hendak ambil barang kemas, ambillah tetapi kenapa perlu membunuh emak sedangkan emak tidak berupaya melawan.
“Saya mohon dan berdoa penjenayah ini segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman setimpal,” katanya.
Jenazah Supik dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Batu 4 1/2, Jalan Kapar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek bagi menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63819#sthash.ZqwZh8VM.dpuf

No comments:

Post a Comment