Dalam kejadian terbaharu, seorang pemilik kilang ais di Timur Laut, Georgetown di sini, menjadi mangsa apabila menerima e-mel daripada sindiket berkenaan pada Mac lalu yang memaklumkan beliau terpilih menerima dana seba­nyak RM15.9 juta daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Kandungan e-mel itu juga memaklumkan warga emas berusia 62 tahun itu merupakan salah seorang daripada 50 pemenang bertuah di seluruh dunia dan perlu mengikut arahan seterusnya jika tidak mahu nama disingkirkan daripada senarai pemenang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, mangsa yang terpengaruh dengan tawaran berkenaan kemudian melakukan sebanyak 51 transaksi kepada beberapa nombor akaun yang diberikan sindiket sebelum menyedari beliau ditipu dan membuat laporan polis.
Katanya, polis yang melancarkan Op Merpati pada 30 Jun lalu berjaya memberkas kelima-lima suspek yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun di beberapa buah pangsapuri di Petaling Jaya, Cyberjaya, Damansara dan ibu negara serta turut merampas lima set komputer riba serta 20 buah telefon pintar.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua wanita warga tempatan yang masing-masing berumur 40 dan 55 tahun kerana mereka merupakan pemilik kepada akaun banyak yang digunakan sindiket berkenaan.
“Polis juga mengesan terdapat beberapa transaksi lain yang mencecah RM1 juta dan ada yang dimasukkan dari negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ne­geri, di sini hari ini.
Dalam operasi berkenaan kata­nya, polis turut merampas pelbagai kad pengeluaran automatik (ATM), kad sim, serta beberapa dokumen.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Ke­seksaan dan kesemua mereka direman selama tujuh hari dengan tambahan tiga hari.
“Dalam masa sama, saya menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan pihak-pihak tertentu yang bermurah hati untuk memberi wang dengan pelbagai cara," katanya.