Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah jenis pangsapuri berkenaan kira-kira 4 petang kelmarin.
Menurut beliau, ketika serbuan terdapat lima wanita warga Thailand berusia 29 tahun hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur di rumah berkenaan.
“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai pelanggan kepada pelacur warga asing itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mior Faridalatrash memberitahu, dalam serbuan itu, polis turut merampas enam keping kondom, tilam dan pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pelacuran.
Ujarnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan rumah berkenaan untuk kegiatan pelacuran sejak beberapa bulan lepas.
Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket itu mungkin didalangi warga tempatan dan usaha mengesan ketua sindiket tersebut giat dijalankan.
Tambahnya, lima wanita ber­kenaan yang turut menyalah guna pas lawatan sosial kini direman mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63.