BENTONG - Kegembiraan Syawal masih belum berakhir, namun tujuh sekeluarga di Felda Mempaga 3 berdepan detik sukar apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran, semalam.

Lebih menyedihkan lagi apabila rumah terbabit adalah milik seorang peneroka orang kurang upaya (OKU), Yaacob Hashim, 65.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Karak, Pegawai Bomba Kanan 1, Ahmad Shapri Mohd Sham berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 9.19 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak. Bagaimanapun, kami berjaya mengawal kebakaran kira-kira 38 minit kemudian,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian, isteri dan anak serta menantu Yaacob berada di rumah dan kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

Manakala Yaacob pula dikatakan tidak berada di rumahnya itu ketika kejadian berlaku.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun sekitar 95 peratus dari rumah mangsa hangus terbakar,” katanya.

Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak dikerahkan untuk mengawal kebakaran terbabit bersama dua jentera termasuk jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong.

“Kami turut dibantu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM). Operasi tamat sepenuhnya sekitar 11.43 pagi,” katanya.

Shapri berkata, anggaran kerugian yang ditanggung mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.