Search This Blog

Monday, July 13, 2015

Raja dadah Mexico lolos lagi


AGENSI - Guzman yang juga dikenali sebagai El Chapo atau shorty berjaya melarikan diri dari sebuah penjara dengan keselamatan maksimum buat kali kedua di Bandar Mexico malam kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO – Raja dadah Mexico, Joaquin Guzman yang juga dikenali sebagai El Chapo melarikan diri dari sebuah penjara keselamatan maksimum untuk kali kedua, kata pihak berkuasa di sini.
Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Keselamatan Kebangsaan Mexico memaklumkan bahawa Guzman kali terakhir dilihat di bilik mandi penjara Altiplano itu malam kelmarin.
El Chapo merupakan ketua kartel dadah Sinaloa yang menyeludup sejumlah besar dadah ke Amerika Syarikat (AS). Dia pernah ditangkap semula pada 2014 dalam satu operasi yang dianggap kejayaan besar oleh kerajaan Mexico.
Pihak berkuasa menjelaskan kehilangan Guzman disedari selepas pegawai penjara memeriksa bilik tahanannya. Operasi mencari telah dilancarkan dengan banyak penerbangan di lapangan terbang berdekatan digantung.
Pada 2001, Guzman melarikan diri dari sebuah penjara keselamatan maksimum dengan menyorok di dalam raga baju kotor selepas memberi rasuah kepada beberapa pengawal penjara.
Ketika itu, dia sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas ditangkap di Guatemala pada 1993.
Sebelum ditangkap semula pada 2014, Jabatan Dalam Negeri AS menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta (RM18.9 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
Guzman yang dianggarkan berusia 57 tahun lahir di pekan Badiraguato dan menjadi watak penting dalam kartel dadah pada 1980-an.
Dia menjadi pengedar dadah paling dikehendaki di dunia selepas mengetuai kartel Sinaloa yang menguasai kebanyakan penyeludupan kokain, marijuana dan methamphetamine yang dipasarkan ke AS. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0713&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3fiaGsRUh 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment