MAZLAN LAZIM
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua mereka ditahan di sini serta direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Ditanya mengenai kaitan kedua-dua lelaki berusia 40-an itu dalam kes penderaan tersebut, beliau berkata, mereka diperlukan untuk melengkapkan kenyataan bagi membantu siasatan kes penderaan itu.
“Penahanan mereka disebabkan kita menjalankan siasatan menyeluruh dan kita mahu melengkapkan kenyataan berhubung kes ini.
“Bagi kedua ibu tiri dan bapa kandung kanak-kanak ini, kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan sebelum ini mereka berdua disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 28 Jun lalu, bapa kandung dan ibu tiri yang menjaga kanak-kanak malang itu ditahan kerana disyaki terlibat mendera mangsa di sebuah rumah di kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang di sini.
Kanak-kanak itu mengalami kecacatan fizikal apabila tulang belakang, paha, dan rusuknya patah dipercayai didera sejak setahun yang lalu.
Sementara itu, dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, semalam, Mazlan berkata, sehingga kini empat individu ditahan termasuk pasangan suami isteri tersebut untuk membantu siasatan.
“Kita telah tahan empat orang dalam kes ini iaitu dua bapa saudara, seorang ibu tiri dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan.
“Setakat ini 21 kenyataan telah diambil. Cuma sekarang kita akan rujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya sama ada ingin tuduh atau tidak,” katanya.