Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, hasil pemeriksaan menerusi Op Rantau itu, polis menahan 29 lelaki warga Bangladesh dan Myanmar.
Menurut beliau, dalam operasi yang bermula pukul 11 malam itu, polis menyerbu empat tapak pembinaan iaitu di Bandar Sri Tanjung Pinang; Jalan Jelutong; Jalan Paya Terubong dan Jalan Mount Erskine.
“Dalam serbuan itu, seramai 197 warga asing diperiksa dan 29 daripada mereka ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tiada dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mior Faridalatrash, seramai 18 lelaki Myanmar dan 11 lelaki Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Juru.
Tambah beliau, warga asing yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi kali ini membabitkan 44 pegawai dan anggota polis, penguat kuasa Jabatan Imigresen dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.