Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya turut melaksanakan 74,382 serbuan dan menangkap sebanyak 6,328 penganjur dan pemain yang terlibat kegiatan haram itu.
"Statistik pemantauan yang dibuat di bawah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi memastikan kegiatan judi haram diperangi sehingga ke akar umbi menunjukkan dari November 2014 hingga Mei lepas, sebanyak 43,227 premis dipantau dengan 42,336 premis tutup dan 851 premis buka," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk S Vigneswaran pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, di sini hari ini.
Wan Junaidi berkata, sebanyak 194 serbuan membabitkan tangkapan sebanyak 523 orang, 1,435 rampasan barang dan wang bernilai bernilai RM41,060, bagi tempoh yang sama.
Vigneswaran ingin mengetahui sama ada perjudian mesin kuda telah berjaya dihapuskan oleh pihak polis.
Sementara itu, menjawab soalan Senator Chong Sin Woon berkenaan tindakan PDRM dalam membanteras kegiatan peminjam wang tanpa lesen ataupun Ah Long di negara ini, Wan Junaidi berkata PDRM bercadang untuk mengambil tindakan ke atas mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
"Mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan perintah sekatan tidak melebihi lima tahun dan perintah tahanan di Pusat Pemulihan Khas (PPK) tidak melebihi lima tahun.
"Keputusan perintahan sekatan dan tahanan ini akan ditentukan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah yang dilantik di bawah POCA dan PDRM sedang mengumpulkan risikan untuk mengambil tindakan ke atas kegiatan Ah Long," katanya.
Menurutnya, sehingga kini, PDRM sedang mengumpul risikan dan makluman untuk mengambil tindakan di bawah POCA dan memandangkan akta itu baharu dilaksanakan, tiada lagi tindakan seumpama itu dikenakan terhadap kegiatan Ah Long.
"Pihak kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam elemen penguatkuasaan, pencegahan dan kempen-kempen memerangi kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen antaranya menempatkan beberapa pegawai kanan di kementerian berkenaan bagi memantau pemberi pinjam wang yang menyalahi undang-undang," katanya.- BERNAMA