Search This Blog

Friday, July 31, 2015

Pengebom Mumbai digantung



AKTIVIS Parti Sosial Demokratik India (SDPI) membawa sepanduk sebagai membantah hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Yakub di luar Bangunan Maharastra di New Delhi, India pada Isnin lalu.


NEW DELHI – Suspek utama serangan bom terbesar di India pada 1993, Yakub Memon menjalani hukuman mati awal pagi semalam, selepas sejam Mahkamah Agung menolak rayuan terakhirnya dalam prosiding pendengaran selama 90 minit.
Kerajaan Maharastra dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Yakub yang mencecah usia 54 tahun semalam telah menjalani hukuman mati pada pukul 6.43 pagi (pukul 9.15 pagi waktu Malaysia) di Penjara Pusat Nagpur.
Para peguamnya memberitahu pemberita, bedah siasat dijalankan di Hospital Nagpur sebelum jenazah Yakub diserahkan kepada keluarga­nya.
Satu siri serangan bom di Mumbai pada 1993 menyebabkan 257 orang terbunuh dan lebih 700 cedera.
Drama sebelum hukuman mati dilaksanakan bermula apabila Ketua Hakim, H L Dattu bersetuju dengan permintaan para peguam Yakub yang datang ke kediaman hakim itu untuk membentuk panel rayuan tiga anggota pada pukul 2.30 pagi ketika pihak berkuasa penjara di Nagpur sedang membuat persediaan akhir melaksanakan hukuman gantung yang dijadualkan sebelum pukul 7 pagi.
Prosiding bermula pukul 3.30 pagi dan berakhir sejam setengah kemudian dengan mahkamah menolak rayuan terakhirnya.
Kes Yakub mendapat liputan media yang meluas dengan berlaku pertikaian perundangan dan perpecahan pendapat dalam kalangan orang awam terhadap hukuman mati, termasuk Allahyarham bekas Presiden India, Dr. APJ Abdul Kalam.
Malam tadi, Presiden Pranab Mukherjee menolak rayuan ihsan kedua selepas Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Maharastra menasihatinya menolak rayuan itu.
Kelmarin, tiga panel hakim menolak petisyen terakhir para peguam Yakub yang mencabar waran hukuman mati dan memutuskan bahawa tidak berlaku pencabulan terhadap hak fundamental. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hPonwWyX 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment