Search This Blog

Friday, July 31, 2015

Mayat dihurung tebuan

Mayat dihurung tebuan

KEMAMAN – Misteri bau busuk dan kehilangan seorang pemanjat kelapa selama dua hari terungkai apabila mayatnya ditemui dalam keadaan dihurung tebuan selepas dipercayai terjatuh dari puncak pokok kelapa setinggi 20 meter dalam kejadian di Kampung Jong Berlabuh, di sini.

Mayat mangsa, Faizal Aziz, 38, dijumpai kira-kira jam 7 petang kelmarin oleh seorang remaja yang diminta oleh jirannya untuk memeriksa kawasan sekitar pokok kelapa di hadapan rumahnya setelah terlihat tali terjuntai dari puncak pokok itu hingga ke bawah.

Bagaimanapun, Mohd Syafiq Iqbal Mohd Asri, 14, terkejut apabila melihat sekujur tubuh kaku manusia yang dalam keadaan separuh merangkak berdekatan kawasan pokok kelapa itu yang dipenuhi lalang.

Bapa remaja itu, Mohd Asri Mustafa, 50, berkata, sejurus menjumpai mayat mangsa, anaknya itu segera menghubunginya sebelum dia yang dalam perjalanan pulang dari kerja segera ke tempat penemuan mayat itu yang sudah pun berbau.

“Ketika saya lihat, mayat dah bengkak dan tidak jauh daripadanya terdapat sebiji buah kelapa muda yang sudah pecah.

“Mungkin buah kelapa itu tercabut dari tandan semasa arwah pegang buah itu ketika berada di atas puncak pokok hingga arwah juga jatuh sekali. Berdasarkan keadaan tali yang sudah diikat, mangsa memang sudah sampai ke puncak dan ikat tali untuk turunkan tandan-tandan buah kelapa muda,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Penemuan mayat mangsa itu menjawab tanda tanya yang bermain dalam kepalanya kerana ketika tiba di rumah pada jam 12 tengah malam sehari sebelum arwah ditemui, dia tercium bau busuk sebelum terdengar suara binatang liar yang agak kasar.

Ekoran itu, dia mengambil sebiji batu dan membaling ke arah hadapan rumahnya untuk menghalau haiwan liar berkenaan.

“Mungkin itu isyarat daripada haiwan liar bahawa ada mayat manusia di hadapan rumah saya. Jarak antara rumah saya dengan tempat mangsa ditemui tak sampai 100 meter,” katanya yang mesra membahasakan dirinya dengan nama Pok Awang.

Katanya, mangsa yang merupakan anak sulung daripada 10 beradik dan bekerja mengambil upah memetik kelapa muda sejak 20 tahun lalu adalah seorang pemuda yang baik dan mudah menghulur pertolongan jika ada penduduk memohon bantuan.

Insiden itu ibarat dugaan bertimpa buat keluarga mangsa kerana kedua-dua orang tuanya ketika ini sakit, malah bapanya juga dalam proses untuk melakukan pembedahan di bahagian perut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan jatuh dari kedudukan tinggi.


“Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah meninggal dalam tempoh dua hari dan kes ini tidak libatkan sebarang unsur jenayah. Jenazah dituntut jam 5 petang hari ini (semalam),” katanya.

No comments:

Post a Comment