BATU PAHAT – Seorang warga emas maut ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik, selepas terlibat dalam satu kemalangan di sebuah persimpangan berhampiran Kampung Parit Laman, Parit Sulong, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.30 petang itu, mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan, sebelum mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan berkenaan telah melibatkan mangsa, Gusari Ekhsan, 81, yang menunggang sebuah motosikal.

"Mangsa yang cuba memasuki simpang berkenaan gagal dielak sebuah kereta jenis Honda City, dari arah bertentangan hingga menyebabkan kecederaan di bahagian badan

“Mangsa yang parah itu terus di bawa ke sebuah klinik berhampiran dan kemudiannya disahkan meninggal ketika menerima rawatan di klinik berkenaan,” katanya.

Menurut Din lagi, kejadian itu berlaku ketika cuaca dan jalan dalam keadaan baik dan pihaknya masih menyiasat punca kemalangan tersebut.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis terus menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar dapat memandu dengan berhati-hati,” katanya.