Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Norilla Ismail, 56, terbunuh di tempat kejadian kerana ce­dera pa­rah di kepala dan badan selepas Proton Persona yang dinaikinya merempuh sebuah lori lima tan di laluan terbabit.
Selain Norilla, penumpang kereta yang cedera parah ialah kakak mangsa, Asmah Ismail, 63; anak mangsa, Amira Azmir, 23 dan rakan anaknya, Intan Suhana Ahmad, 22.
Saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, keluarga mereka sebenarnya merancang untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama saudara lain.
“Sebelum kejadian, arwah bersama anak dan kakak serta seorang kenalan anaknya ke pekan Parit Sulong untuk membeli juadah berbuka dan juga keperluan untuk menyambut hari raya. Namun kami tidak sangka berakhir begini.
“Jenazah dijangka dibawa pulang ke rumahnya dan dikebumikan di Kampung Lenga, Pagoh,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bali Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Penolong Kanan Bomba II, Ishak Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.43 petang berhubung kejadian tersebut.
Katanya, sebuah jentera dan kenderaan bantuan kecemasan (ERMS) dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dan pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan semua mangsa kerana tersepit.
“Seorang daripadanya dikeluarkan oleh orang awam yang turut berada di tempat kejadian. Semua mangsa kemudian dihantar ke HPSF untuk rawatan termasuk jenazah Norilla turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.