BESUT -  Selepas bertarung nyawa selama tiga hari setelah menjadi mangsa kemalangan jalan raya apabila  kereta yang dipandu terbabas sebelum melanggar pokok, seorang lelaki yang koma akibat kejadian itu meninggal dunia awal pagi kelmarin.

Azuan Harun, 24, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia jam 1.10 pagi di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) , Kuala Terengganu. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled  Che  Lah berkata, mangsa yang belum berkahwin cedera parah apabila kereta Proton Satria yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Lata Tembakah, Hulu Besut di sini pada jam 2.30 petang Ahad lalu.

Menurutnya, kemalangan dikatakan berlaku ketika mangsa memandu seorang diri dari rumahnya di Kampung Batu 13, di sini ke arah Hutan Lipur Lata Tembakah namun apabila tiba di tempat kejadian kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di sebelah
kiri jalan.

“Anggota bomba dan penyelamat terpaksa memotong kenderaan  tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit kemudian mangsa dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya.

Khaled berkata, mangsa kemudian dirujuk ke HSNZ dan selepas tiga hari mendapatkan rawatan di sana, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

Menurut Khaled, pihaknya sedang menjalankan siasatan punca kejadian sementara kereta mangsa remuk teruk.