Search This Blog

Sunday, July 12, 2015

Makan gula-gula durian beracun


AGENSI - GULA-GULA berperisa durian yang didakwa menyebabkan ratusan pelajar terpaksa dirawat di hospital selepas mengalami keracunan di Filipina kelmarin.


MANILA – Beratus-ratus pelajar sekolah di sembilan bandar di selatan Filipina jatuh sakit kelmarin selepas makan gula-gula berperisa durian, kata gabenor wilayah itu.
Gabenor Surigao del Sur, Johny Pimentel berkata, lebih 1,350 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terpaksa dirawat di hospital selepas mereka mengadu mengalami kekejangan perut, cirit-birit, muntah dan sakit kepala kerana makan gula-gula itu.
“Sehingga semalam, kira-kira 250 pelajar masih berada di hospital, namun keadaan mereka semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar,” kata Pimentel.
Berikutan kejadian itu, seramai sembilan orang lelaki dan wanita yang menjual gula-gula itu dengan menggunakan sebuah van pada waktu rehat persekolahan ditahan.
Pihak polis kini sedang menyiasat sama ada gula-gula yang dijual itu telah tamat tempoh atau sengaja dicampur dengan racun.
“Kesemua suspek menjual gula-gula itu hanya kepada pelajar sekolah. Mereka berniaga di seluruh sembilan bandar itu untuk menjual gula-gula berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, kumpulan terbabit menafikan yang mereka berhasrat untuk meracuni kanak-kanak berkenaan.
Pimentel berkata, pihak polis kini masih menyiasat mengapa kumpulan tersebut sanggup melalui perjalanan sehingga 300 kilometer dari rumah mereka semata-mata mahu menjual gula-gula itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3fci3bUlq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment