Search This Blog

Monday, July 13, 2015

Letak bayaran sesuka hati


SEORANG ulat parkir dilihat menunggu di bahu jalan.


KUALA LUMPUR – Sudahlah kutip parkir secara haram, bayarannya pula cekik darah. Itu luahan beberapa pengunjung di bazar larut malam Uptown Danau Kota yang terkejut apabila sindiket yang menjalankan kegiatan mengutip bayaran tempat letak kereta haram atau ‘ulat parkir’ menaikkan harga bayaran daripada RM3 kepada RM5.
Menurut seorang pengunjung, Fazliana Abu Hasan, 26, tindakan ulat-ulat tersebut melampaui batas dan jelas menipu orang ramai yang ingin membuat persiapan untuk hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi.
“Ini bukan kali pertama saya datang ke sini dan terkejut apabila mereka naikkan bayaran sesuka hati. Ini memang sudah melampau dan cekik darah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Fazliana yang tinggal di Wangsa Maju berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada golongan remaja turut memberikan tiket letak kereta untuk mengaburi mata orang ramai yang mungkin tidak mengetahui kegiatan tersebut adalah haram.
“Walaupun geram dengan perkara ini, saya terpaksa bayar kerana bimbang mereka akan cuba melakukan sesuatu ke atas kereta saya,” jelasnya.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan, sekumpulan lelaki yang mengutip bayaran letak kereta secara haram dikesan aktif melakukan kegiatan itu di kawasan bazar tersebut sejak awal Ramadan lalu.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nor Faizah Abu Hasan, 30, berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut yang memang menipu orang ramai.
“Bagi saya ini adalah satu rompakan secara terhormat. Harap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak polis ambil tindakan. Lagi pun Balai Polis Danau Kota terletak berhampiran dengan kawasan ini,” ujarnya.
Uptown Danau Kota merupakan satu daripada lokasi beli-belah terkenal di ibu kota yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, gajet, aksesori, beg dan kasut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0713&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3fiaz1uod 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment