Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, tiada kecederaan dilaporkan kerana tembakan ber­kenaan terkena bahagian dinding kedai.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, suspek yang memakai topi keledar berpenutup muka, jaket warna gelap dan seluar panjang masuk ke dalam kedai berkenaan yang ketika itu terdapat dua pekerja lelaki berusia 57 dan 62 tahun.
Menurutnya, suspek kemudian menghampiri kaunter sebelum bertindak mengeluarkan senjata api jenis pistol dan menghalakan ke arah mangsa sambil mengarahkan pekerja berkenaan menyerahkan wang.
“Salah seorang daripada pekerja berkenaan tunduk di bawah kaunter dan cuba menekan butang kecemasan bagaimanapun tidak sempat berbuat demikian selepas perbuatannya disedari suspek.
“Suspek yang berang dengan pekerja berkenaan bertindak melepaskan tembakan ke arah din­ding sambil memberi amaran akan mencederakan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar Mior Faridalatrash, pekerja berkenaan menyerahkan wang yang terdapat dalam kaunter iaitu kira-kira RM400 sebelum lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang dile­takkan tidak jauh dari kedai itu.
Kata beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai berkenaan.
“Kami akan teliti rakaman CCTV kerana dua pekerja kedai ber­kenaan tidak dapat mengecam suspek terbabit ekoran dia memakai topi keledar berpenutup muka,” katanya.
Sehubungan itu, Mior Faridalatrash turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.