Hasan Malek
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuat operasi bersepadu bagi menangani masalah itu.
“Sebelum ini KPDNKK telah membuat beberapa serbuan di pre­mis-premis penjual telefon bimbit yang didakwa menipu setelah mendapat aduan daripada pengguna.
“Kita berharap dengan kerjasama badan-badan lain selepas ini akan menjadikan operasi yang dilakukan lebih berkesan dan berupaya menghentikan penipuan jual beli telefon bimbit yang semakin banyak berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, video pergaduhan di Plaza Low Yat telah menjadi viral di media sosial dengan dua versi punca dan salah satu daripadanya ialah kerana pembeli mendakwa peniaga telah membuat penipuan semasa proses jual beli.
Tambah Hasan, selain pihak ber­kuasa, pengguna memainkan pera­nan penting dalam usaha membanteras peniaga-peniaga telefon bimbit yang licik itu.
“Pembeli telefon bimbit perlu me­­nyimpan resit untuk dijadikan bukti dan buat aduan kepada KPDNKK supaya mudah untuk kami ambil tindakan dan menjalankan siasatan.
“Pengguna perlu tahu bahawa kita mempunyai undang-undang dan peraturan yang mencukupi untuk melayan kerenah peniaga licik seperti ini tetapi pengguna harus membantu KPDNKK,” katanya.