Difahamkan, lelaki berkenaan yang hanya memakai seluar pendek terpaksa menyorok hampir 20 minit di celah-celah bumbung bagi mengelakkan dirinya daripada dicekup.
Orang ramai yang turut menyedari insiden tersebut mula berkerumun di halaman rumah dua tingkat milik individu berpangkat Datuk tersebut.
Salah seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian selepas rakannya itu memanggilnya untuk mendapatkan bantuan.
“Saya mulanya memang terkejut dan tak sangka bila nampak lelaki dalam usia 30-an ada atas bumbung, apatah lagi dalam keadaan tak pakai baju, cuma berseluar pendek sahaja. Dia cuba sembunyikan diri dengan menyorok di celah-celah bumbung.
"Kami terpaksa ambil masa beberapa minit dengan menyuluh ke atas bumbung bagi mengarahkannya turun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pihak polis dan pengawal keselamatan yang tiba dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, kemudian turut memanjat ke atas bumbung bagi mendesak lelaki tersebut turun.
Bagaimanapun dipercayai tindakan itu sia-sia selepas dia cuba bergelut.
Tambahnya, pergelutan beberapa minit tersebut menyebabkan lelaki berkenaan terjatuh.
“Hentakan kuat pada kepala menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan dilaporkan masih koma.
"Saya turut dimaklumkan, lelaki yang berada di bumbung itu bukanlah penduduk dari kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai kurang siuman dan masih belum sedarkan kiri akibat pendarahan di kepala.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya akan siasat dari pelbagai aspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.