Azaki Hasan, 44, bapa kepada Mohd. Alif mengakui serius mengambil khidmat peguam setelah mengkaji daripada pelbagai sudut.
Tegasnya, walaupun tidak menolak sebarang kemungkinan, namun tindakan kumpulan lima lelaki itu jelas tidak berperikemanusiaan.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Jengka pada 24 Julai lepas bagi membuktikan pihak keluarga tidak dapat menerima cara yang diperlakukan ke atas anak saya di luar batas kemanusiaan.
“Khidmat peguam tetap akan diambil, hanya menunggu hari yang sesuai setelah menerima pandangan dan nasihat daripada rakan-rakan sekampung yang bersimpati,” katanya kepada Utusan Malaysia di kedai makan miliknya di Felda Jengka 8 di sini hari ini.
Baru-baru ini dua pekerja sebuah ladang ternakan lembu di Felda Jengka 17, di sini cedera parah dibelasah sekumpulan lelaki kerana disyaki mencuri lembu milik seorang penduduk di tanah rancangan itu.
Kumpulan itu turut bertindak membakar kereta Proton Persona yang disewa oleh dua mangsa selain bertindak memaksa kedua-dua mereka memakan tahi lembu.
Ekoran itu, polis menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat memukul kedua-dua mangsa termasuk seorang suspek yang didapati positif dadah.