GEORGETOWN - Sekumpulan lelaki berjaket gelap melarikan wang tunai RM400 dalam kejadian samun di sebuah kedai nombor ekor di Relau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi, penyamun terbabit turut melepaskan satu das tembakan.
Ketika itu, hanya ada dua pembantu kedai berusia lingkungan 57 dan 62 tahun.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, siasatan awal polis mendapati suspek mengeluarkan senjata api yang dipercayai pistol dan menghala ke arah mangsa pertama. 
Mangsa pertama didapati terus tunduk ke bawah kaunter dan ingin menekan penggera. 
"Kemudian suspek meluru ke kaunter dan meminta mangsa kedua menyerahkan wang sambil melepaskan satu das tembakan ke arah dinding.
"Bimbang keselamatannya, mangsa terus menyerahkan wang tunai RM400. Sejurus itu, suspek melarikan diri," katanya.
Beliau berkata  mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun terdapat kesan tembakan di dinding dalam premis dan menemui serpihan anak peluru.
Mior Faridalatrash berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
"Selain itu, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.