BAYI yang dilaporkan hilang di Subang Parade, ditemui selamat di sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam, awal pagi semalam.
Terdahulu, kereta yang dinaiki kanak-kanak itu ditinggalkan bapanya dalam keadaan enjin masih hidup untuk memanggil ibu mangsa yang bekerja di sebuah pusat beli-belah.
Bagaimanapun, seorang lelaki bertindak melarikan kereta Pe­rodua Myvi berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa berjaya ditemukan semula kira-kira pukul 1 pagi.
“Mangsa ditinggalkan berseorangan di sebuah stesen minyak di Glenmarie. Dia ditemukan oleh seorang pekerja stesen minyak terbabit di dalam troli yang di­tinggalkan di tepi tandas sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke balai polis untuk diserahkan kembali kepada warisnya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Yahaya memberitahu, kereta Perodua Myvi yang dilarikan itu masih belum ditemukan sehingga kini.
Lewat malam tadi, berita kejadian itu telah menjadi viral di laman sosial selepas bapa saudara mangsa meminta orang ramai menyebarkan maklumat tentang Perodua Myvi berwarna putih dilarikan bersama seorang bayi di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya.