Search This Blog

Friday, July 24, 2015

Jabatan Perhutanan Sarawak laksana 240 serbuan, kemuka 122 kertas siasatan tahun ini

KHAMIS, 23 JULAI 2015 @ 3:18 PM

 KUCHING: Jabatan Perhutanan Sarawak melakukan 240 serbuan di kawasan hutan dan syarikat pembalakan yang dipercayai terbabit dengan aktiviti haram sehingga Julai tahun ini. Bagi tempoh sama, jabatan itu juga sudah mengemukakan 122 kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negeri untuk tindakan undang-undang. Pengarahnya, Sapuan Ahmad, berkata usaha jabatan membanteras aktiviti pembalakan haram menjadi lebih mudah berikutan pengenalan undang-undang baharu oleh kerajaan negeri. Katanya, mengikut pindaan ordinan diluluskan Dewan Undangan Negeri beberapa bulan lalu, ia kini menjadi tanggungjawab pembalak untuk membuktikan balak yang dimiliki mereka diperolehi secara sah. "Sebelum ini, jabatan perlu melakukan semua seperti menjejak tempat asal balak itu dan sebagainya, dan akhirnya kami yang akan kalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel mengenai kayu balak Sarawak di sini, hari ini. Bengkel dua hari anjuran jabatan itu bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia), Ecology and People Consult (NEPCon) adalah untuk memberi gambaran mengenai trend global produk balak dan pensijilan pengurusan hutan. Terdahulu dalam ucapannya, Sapuan meminta semua Unit Pengurusan Hutan (FMUS) untuk tidak hanya menumpukan kepada usaha kelestarian hutan tetapi turut menyediakan suasana hutan yang sihat untuk orang ramai. "Kami mahu semua FMUS memastikan amalan pembalakan dilakukan secara bertanggungjawab, menghentikan amalan pembalakan yang salah dan kami juga tidak mahu balak atau produk balak yang diperoleh dengan cara tidak bertanggungjawab memasuki pasaran domestik dan antarabangsa," katanya. Menurutnya, bengkel itu tepat pada masanya dalam usaha Sarawak memperbaiki industri perhutanannya, dengan satu daripada sasarannya untuk semua FMUS dan syarikat pembalakan yang besar untuk komited dalam pengurusan hutan dan mendapat pensijilan menjelang 2017. Katanya, pada 2013, 6.8 juta meter padu balak dan produk balak dari Sarawak dieksport, membabitkan pendapatan kira-kira RM7.2 bilion, manakala tahun lalu 6.6 juta meter padu dieksport dengan pendapatan sebanyak RM7.3 bilion. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69619

1 comment:

  1. KT MYANMAR PEMBALAK HARAM WARGA CHINA 153 ORG DITANGAKAP DAN DIHUKUM PENJARA SEUMUR HIDUP...KT SINI...?????????

    ReplyDelete