Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ini susulan kejayaan anggota  dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang menahan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan Persiaran Zaba, TTDI, Kuala Lumpur.

Menurutnya, tangkapan kira-kira jam 4 pagi tersebut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod dikehendaki.

“Soal siasat kemudian mendedahkan pembabitan tiga lagi rakannya dalam beberapa kes pecah rumah.

“Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan tiga rakan suspek di sekitar Shah Alam, dua hari kemudian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dekat sini, semalam.

Shafien berkata, tiga buah kereta jenis Mercedes, Audi dan BMW  dirampas serta beberapa barang kes seperti iPad, tiga buah komputer riba, 20 telefon bimbit, enam utas jam tangan serta beberapa peralatan pecah rumah yang kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.

Selain itu, beliau turut mendedahkan, geng yang bergiat aktif pada waktu malam sejak awal tahun ini bergerak secara berkumpulan dengan menaiki motosikal di kawasan-kawasan taman perumahan.

“Bila sudah temui sasaran, suspek yang bersenjatakan parang akan memanjat tembok belakang rumah dan masuk ke dalam dengan cara memotong kunci mangga serta mengumpil pintu grill. Selain mengambil barang dalam rumah, suspek turut membawa lari kereta yang
diletakkan di hadapan rumah tersebut.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, pihaknya percaya sudah menyelesaikan 10 kes pecah rumah, curi kenderaan dan curi dalam kereta di daerah Shah Alam serta Subang Jaya.

“Kini, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 27 tahun masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan,” katanya.