Ketua Polis Daerah, Superintenden Abd. Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 6.45 petang, suspek yang berusia 22 tahun diberkas di sebuah rumah kosong di Kampung Tok Kasim, Bukit Kayu Hitam.
“Ketika serbuan, suspek sedang memasukkan sesuatu ke dalam sebuah van bernombor pendaftaran negara jiran dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek menyembunyikan bungkusan plastik lutsinar dipercayai berisi daun ketum seberat 95 ki­logram pada bahagian bumbung dan tepi bumbung kenderaan berkenaan.
“Daun ketum tersebut dipercayai dibeli daripada seorang lelaki di Bukit Kayu Hitam dengan harga RM30 setiap kilogram,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abd. Rahim, suspek kedua ditahan kira-kira pukul 1.15 pagi oleh anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Kilometer 1.3, lebuhraya Utara Selatan setelah pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaikinya me­nemukan bungkusan berisi daun disyaki daun ketum.
“Daun ketum seberat kira-kira 15 kilogram itu disembunyikan di bahagian bampar belakang dan bawah pintu kiri dan kanan kereta suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 14 Julai ini,” katanya.