Search This Blog

Tuesday, July 7, 2015

Dua tahun seleweng LPG


Kuala Lumpur: Sebuah syarikat membekalkan gas memasak dan minyak masak di Jalan Chan Sow Lin, di sini, menyimpan sehingga 30,000 kilogram petroleum cecair (LPG) dipercayai bagi tujuan penyelewengan.

Namun, taktik yang digunakan syarikat terbabit berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menyerbu stor penyimpanan LPG dan merampas 725 tong gas memasak dianggar bernilai hampir RM90,000.

Dalam serbuan jam 11 pagi, semalam, syarikat terbabit dipercayai menyimpan bekalan LPG melebihi daripada had ditetapkan.

Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Muez Abd Aziz berkata, pihaknya percaya syarikat terbabit menyimpan bekalan lebihan sejak dua tahun lalu bagi tujuan penyelewengan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat terbabit hanya memiliki lesen peruncit dan berdasarkan syarat sah lesen itu, mereka dibenarkan menyimpan 2,500 kilogram LPG dalam satu masa.

“Syarikat itu bagaimanapun menyimpan 584 tong gas memasak jenis 50 kilogram dan 141 tong gas memasak jenis 14 kilogram bersamaan 31,174 kilogram sekali gus melebihi had ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muez berkata, syarikat itu juga tidak memiliki lesen pemborong bagi membolehkan mereka menyimpan gas memasak jenis 50 kilogram.

Selain merampas lebihan bekalan LPG, beliau berkata, pihaknya akan mengambil keterangan pemilik syarikat berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Akta Bekalan Kawalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 7:16 AM

No comments:

Post a Comment