MELBOURNE - AUSTRALIA. Seorang ahli sukan bola jaring dilarang masuk ke sebuah kelab menunggu eksklusif di sebuah lapangan terbang, bulan lepas.
Menurut laporan Dailymail, Caitlin Bassett, 27, memakai pakaian sukan ketika kejadian.
"Dilarang masuk ke Kelab Qantas kerana memakai 'legging'," kata Bassett dalam laman mikro Twitternya.
"Mereka jangkakan saya akan pakai apa dalam penerbangan empat jam ke Perth? Gaun menari?," katanya kecewa.
Bassett mendakwa dia hanya mahukan keselesaan dalam pemilihan pemakaiannya.
Difahamkan, Qantas memperkenalkan kod pakaian 'smart casual' pada April.
"Sejak April (2015), pelanggan yang memasuk Kelab Qantas domestik dan lounge di Adelaide, Brisbane, Canberra, Merlbourne, Perth dan Sydney sudah diingatkan supaya mematuhi kod tersebut," kata seorang jurucakap Qantas.
"Majoriti ahli kelab kami mematuhi kod tersebut, tetapi maklum balas mahukan kami memastikan kod tersebut dikenakan kepada semua pihak.
"Kod pakaian di lounge adalah sama seperti di restoran dan kelab," tambah jurucakap tersebut.
Singlet, kaki ayam, selipar getah dan baju sukan dianggap tidak mematuhi kod pakaian tersebut.