Search This Blog

Tuesday, July 7, 2015

Dapat petunjuk awal

Ranau: Bau lumpur yang kuat selain bunyi bongkah batu berlaga di hulu Sungai Mesilau memberi petunjuk awal kepada penduduk sekitar Kampung Mesilau, Kundasang untuk menyelamatkan diri sebelum perkampungan itu dilanda banjir lumpur, kelmarin.
Seorang penduduk, Ikhwan Jaliman, 31, berkata, sebelum kejadian, dia yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bersama rakan setugas melakukan kawalan sekitar kampung selain memantau paras air sungai.
“Selepas menunaikan solat Tarawih, kami meronda dalam keadaan hujan renyai sebelum angin kencang melanda.
“Angin kencang disusuli hujan lebat sejak petang Jumaat lalu menyebabkan arus sungai bertukar deras manakala paras air naik mendadak,” katanya, semalam.
Ikhwan berkata, keadaan mula berubah apabila penduduk terdengar bunyi bongkah batu berlaga akibat dihanyutkan arus sungai.
“Saya mendapati arus sungai turut membawa bersama lumpur dan batu besar dari hulu. Saya kemudian mengarahkan semua penduduk terutama mereka yang menetap di tebing sungai supaya segera berpindah ke lokasi selamat,” katanya.
Menurut Ikhwan, bunyi bongkah batu berlaga itu amat menakutkan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
“Sekitar jam 2.20 pagi semalam (kelmarin), kami terdengar bunyi runtuhan dari Gunung Kinabalu sebelum terhidu bau lumpur yang kuat.
“Sebahagian penduduk yang sudah bersedia lebih awal mula berpindah ke pusat penempatan sementara sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau tiba untuk membantu mengeluarkan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Felix Tongkul menasihati penduduk di sekitar hulu Sungai Kadamaian, Kota Belud dan Sungai Mesilau, Kundasang supaya lebih berwaspada dengan ancaman banjir lumpur.
“Saya meninjau sekitar kawasan sungai di Kota Belud dan mendapati arus sungai meningkat mendadak berbanding beberapa hari lalu. Penduduk diminta sentiasa berwaspada dan segera berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 9:53 AM


BANJIR lumpur di Sungai Penataran, Kampung Malangkap, Kota Belud.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62346#sthash.xwtLqX1N.dpuf

No comments:

Post a Comment