Search This Blog

Monday, July 13, 2015

Bayi lelaki di tangga masjid


Bayi lelaki yang ditemui di tangga masjid.


MELAKA – Seorang jemaah di Masjid Kampung Alai di sini tidak menyangka menemui seorang bayi lelaki dalam bakul ditinggalkan di tangga masjid selepas melakukan Qiamullail dan solat sunat awal pagi semalam.
Nor Azizan Md. Nordin, 50, berkata, bayi yang turut ditinggalkan dengan sebuah botol susu itu ditemui pada pukul 4.30 pagi di atas anak tangga depan pintu masuk ke masjid.
“Saya menemui bayi yang diselimutkan dalam bakul selepas habis melakukan Qiamullail dan sedang menunaikan solat sunat,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Semasa bersolat sunat, katanya, dia seperti mendengar seseorang menolak pagar di pintu masuk depan masjid.
“Sebaik habis solat, saya mendengar pula suara bayi menangis.
“Saya sangka tangisan yang didengari bukan datang daripada bayi kerana waktu itu masih terlalu awal pagi,’’ katanya.
Nor Azizan memberitahu, dia kemudian bangun dan menuju ke pintu masjid sebelum terkejut ternampak seorang bayi dalam sebuah bakul ditinggalkan di atas tangga.
Katanya, dia kemudian membawa bayi berkenaan ke dalam masjid dan menenangkannya daripada terus menangis.
“Selepas 15 minit, bayi itu berhenti menangis sebelum saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Kandang di sini untuk membuat laporan mengenai penemuan bayi itu,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim mengesahkan mengenai penemuan bayi yang dipercayai berusia seminggu itu.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0713&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3fib4tjph 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment