Kejayaan itu adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Selangor dalam operasi bersepadu Jejak Bakau bermula dari 27 Jun sehingga semalam.
Kawasan-kawasan terlibat adalah perairan Selat Che Mat Zain, Pulau Pintu Gedung, Pulau Selat Kering, Pulau Tengah dan Pulau Klang.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Aliyas Hamdan berkata, pihaknya percaya sebanyak tujuh hingga 10 pembalak haram terlibat berdasarkan pengesanan dari udara.
Bagaimanapun jelasnya, kesemua mereka berjaya melarikan diri.
“Namun kami berjaya merampas bot dan enjin yang dipercayai digunakan untuk tujuan penebangan haram,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, harga pasaran bagi sebatang pokok kayu bakau adalah antara RM7 hingga RM10.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan Selangor, Dr. Mohd. Puat Dahalan memberitahu, aktiviti penebangan bakau secara haram lebih banyak berlaku pada bulan Ramadan.
“Bagi menanganinya, Jabatan Perhutanan Selangor dan Maritim Malaysia akan terus mengadakan operasi bersepadu agar kegiatan haram sebegini tidak memudaratkan negara kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada ekosistem.
“Pokok bakau yang sedia ada ini perlu dijaga agar menjadi penampan hakisan ombak serta habitat flora dan fauna di negara ini khususnya di perairan Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 15,000 batang kayu balak berjaya dirampas dan disita.