Search This Blog

Tuesday, July 7, 2015

3 tersepit angkara babi

Melaka: Tiga pekerja Southern Waste Management (SWM) Sdn Bhd cedera selepas lori pengangkut sampah dinaiki terbabas dan melanggar pokok selepas cuba mengelak seekor babi yang melintas jalan di Kilometer 20, Kampung Sri Nawar, Bukit Lintang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, lori dipandu seorang kakitangan syarikat terbabit yang berusia 40-an dalam perjalanan pulang ke depoh syarikat di Merlimau, di sini, selepas membuang sampah di pusat pengumpulan sampah di Sungai Udang.
Menurut sumber, pemandu lori terbabit dikatakan terkejut melihat babi melintas secara tiba-tiba sejurus tiba di tempat kejadian lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan merempuh sebatang pokok sehingga tumbang sebelum terhenti ketika merempuh sebatang lagi pokok.
“Akibat melanggar pokok kedua, dua kru lori pengangkut sampah berusia 30-an itu tersepit dan seorang daripadanya patah kaki kanan,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Mohd Akhhiar Miswan berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka (JBPM) menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.50 petang dan pihaknya tiba di lokasi pada jam 5.06 petang.
“Ketika tiba di lokasi, kita dapati sebuah lori pengangkut sampah milik SWM berada di tepi jalan selepas terbabas dan melanggar pokok.
“Ketika itu, pemandu berusia 40-an sudah diselamatkan orang awam dan dihantar ke Hospital Melaka manakala dua lagi dipercayai kru lori berusia 30-an tersepit,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan pemotong besi.
“Kita mengeluarkan mangsa pertama yang tersepit pada jam 5.30 petang manakala mangsa kedua yang patah kaki kanan berjaya diselamatkan lima minit kemudian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Tengah Asisten Superintendan Yahya Manan berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai kemalangan terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 9:48 AM


MANGSA yang patah kaki diberi rawatan kecemasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62342#sthash.lQpxC3Qp.dpuf

No comments:

Post a Comment