Search This Blog

Monday, July 27, 2015

250,000 terjejas akibat banjir



SEKUMPULAN penduduk kampung meredah air banjir di daerah Layyah di wilayah Punjab, Pakistan pada Khamis lalu. - AFP


ISLAMABAD – Hujan lebat dan banjir di Pakistan telah menyebabkan 36 orang terbunuh dan menjejaskan lebih 250,000 orang, kata pegawai pengurusan bencana kelmarin selepas sungai dan saliran yang melimpah menenggelamkan beratus-ratus perkampungan.
Cuaca buruk telah menyebabkan huru-hara di utara dan selatan negara ini, memusnahkan berpuluh-puluh jalan raya serta jambatan di daerah Chitral di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Ternakan dan juga penduduk telah dihanyutkan di wilayah Baluchistan di selatan dan wilayah Kashmir di utara negara ini, kata seorang pegawai kerajaan.
“Mengikut laporan yang kami terima setakat ini, 26 orang terbunuh di Chitral, tiga di Punjab dan tujuh lagi di Baluchistan.
“Sehingga kini, sebanyak 350 kampung di Khyber Pakhtunkhwa dan 422 kampung di Punjab rosak dengan ke­seluruhan 250,000 penduduk terjejas akibat banjir ini,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), Ahmed Kamal kepada agensi berita AFP.
Sekurang-kurangnya lapan sekeluarga terbunuh pada malam Jumaat lalu di Chitral selepas rumah mereka dihanyut­kan arus deras, kata seorang pegawai di Khyber Pakhtunkhwa.
Empat sekeluarga yang lain terbunuh selepas kereta mereka dihanyutkan ke dalam saliran air di daerah Khuzdar di Baluchistan, kata anggota NDMA di sana. NDMA meramalkan lebih banyak hujan di seluruh Pakistan dalam beberapa hari akan datang.
Satu amaran telah diletakkan di laman web NDMA mengenai cuaca buruk yang dijangka berlanjutan di Chitral dan Gilgit Baltistan dalam tempoh empat ke lima hari akan datang dengan potensi menyebabkan banjir berterusan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3h4FIWt58 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment