Laporan polis itu dibuat oleh Pengarah Urusan SAG, Nor Nabilah Mohd. Nasir pada Sabtu lalu dan semalam pula oleh Pengerusi SAG, Datin Zaiton Othman.
Menurut Nor Nabilah, aduan itu dibuat kerana syarikat bimbang orang ramai yang menyertai satu seminar berkaitan gaharu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor diperdaya untuk melabur dalam projek yang dikatakan di­terajui oleh SAG.
Katanya, pihaknya telah dihubungi oleh beberapa peserta yang memberitahu mereka membuat pelaburan melalui syarikat yang menganjurkan seminar berkenaan.
“Malah, saya dapat tahu ada orang yang telah melabur sebanyak RM165,000 atau bersamaan de­ngan RM550 bagi sebatang pokok sedangkan tawaran asal SAG hanya RM399 bagi sebatang pokok.
“Saya juga menegaskan bahawa SAG tidak menerima sebarang bayaran bagi pelaburan ini walaupun penganjur seminar menggunakan nama SAG,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seremban 2 dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Zaiton, Penasihat Komuniti Ibu Berdikari dan Berusaha 1Malaysia (KI2B) Negeri Sembilan, Datuk Roslina Abu Bakar.
SAG yang beroperasi sejak empat tahun lalu terlibat dalam kegiatan penyediaan kawasan tanaman, pembekalan benih, penjagaan tanaman, pengeluaran hasil dan pemasaran gaharu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintenden Ramli Mohd. Nor mengesahkan laporan polis yang dibuat syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, polis meminta orang ramai yang mengesyaki ditipu dalam kes itu membuat aduan bagi memboleh­kan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, Roslina memberitahu, pihaknya akan membantu SAG dalam kes tersebut yang dianggap sebagai penganiayaan kepada sebuah syarikat milik bumiputera.
Katanya, orang ramai yang dipujuk untuk menyertai sesuatu skim perniagaan perlu membuat rujukan dengan pelbagai pihak bagi menggelakkan mereka terpedaya.
“Kita juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menipu orang ramai dengan mengutip wang untuk mengambil bahagian dalam sesuatu perniagaan,” ujarnya.
Nor Nabilah pula berkata, orang ramai yang mahu menyertai projek penanaman pokok gaharu boleh menghubungi SAG 06-6317030 / 019-6814258 atau laman sosial https://www.facebook.com/senamaagro.gaharu.1?fref=ts.