TOKYO – Dua pengeluar kenderaan utama Jepun, Toyota dan Nissan semalam mengumumkan tambahan lebih tiga juta kenderaan di seluruh dunia dipanggil semula atas kebimbangan terhadap masalah beg udara yang telah menyebabkan lapan kematian.
“Toyota kini akan mengembangkan panggilan semula global melibatkan 2.86 juta lagi kenderaan yang dilengkapi sejenis alat peranti beg udara di bahagian penumpang hadapan,” jelas syarikat pengeluar itu melalui satu e-mel.
Nissan pula memaklumkan 198,000 kenderaan dipanggil kembali di seluruh dunia, manakala Mitsubishi turut memanggil semula 120,000 kenderaan keluarannya.
Beg udara yang dihasilkan syarikat pengeluar alat ganti Jepun, Takata itu telah menyebabkan banyak pengeluar kereta terpaksa memanggil kembali kenderaan mereka di seluruh dunia.
Toyota sendiri memaklumkan 12.66 juta unit kenderaan terlibat tetapi pengeluar kenderaan nombor tiga Jepun, Honda paling teruk terjejas dengan 19 juta kenderaannya terpaksa dipanggil kembali.
Takata yang beribu pejabat di Tokyo bulan lalu bersetuju dengan panggilan kembali lebih 30 juta kenderaan pengeluar-pengeluar utama dunia di Amerika Syarikat, dua kali ganda berbanding rekod jumlah panggilan semula sebelum ini.
Kerosakan itu dikaitkan dengan bahan kimia letusan yang membantu mengembangkan beg udara berkenaan tetapi menyebabkannya terbuka dengan kuasa tinggi serta meledakkan serpihan besi ke arah pemandu dan penumpang kenderaan. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3e7Y4Jcrr
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment