Proses pelupusan tersebut melibatkan tiga kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.
Timbalan Pengarah (Perlu­cut­hakan Harta/Perundangan/Taha­nan), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, Perak mencatatkan anggaran nilai dadah tertinggi iaitu sebanyak RM1.8 juta.
Katanya, sebanyak 13 daerah dalam kontinjen Perak terlibat de­ngan pelupusan barang kes itu, yang merangkumi sejumlah 3,122 kertas siasatan atau kes dari tahun 2005 hingga 2014.
“Kontinjen Pulau Pinang pula melibatkan lima daerah dengan anggaran nilai dadah sebanyak RM627,137. Jumlah itu merangkumi 1,027 kertas siasatan bagi kes dari tahun 2000 hingga 2011.
“Bagi Kontinjen Sarawak, sebanyak empat daerah terlibat dengan anggaran rampasan dadah bernilai RM17,015 yang melibatkan sejumlah 557 kertas siasatan dari tahun 2007 hingga 2013.
“Semua dadah tersebut dilupuskan setelah kes yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 selesai dibicarakan di mahkamah, dengan tempoh rayuan bagi kes telah tamat dan semua barang kes telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri program pelupusan barang kes dadah bagi kontinjen Perak di premis Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., Kamunting dekat sini.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Dzuraidi, seramai 76,874 orang te­lah ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik dari Januari hingga Mei tahun ini.
Katanya, jumlah tangkapan itu menurun sebanyak tiga peratus berbanding 79,103 orang yang ditangkap bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun kata Dzuraidi, tangkapan di bawah kategori bekalan telah meningkat sebanyak 16 peratus manakala kategori memiliki pula meningkat sebanyak 12 peratus.
“Sebanyak 9.39 tan, 2.04 juta biji pil dan 49,127 liter pelbagai jenis dadah serta 35 pokok ganja berjaya dirampas dengan anggaran nilai RM128.04 juta.
“JSJN juga berjaya membongkar sebanyak 17 makmal memproses dadah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini. Bagi kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 seramai 427 orang telah diambil tindakan pencegahan,” jelas beliau.
Tambah Mohd. Dzuraidi, JSJN turut menyita pelbagai jenis harta bernilai RM35.37 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.