RAZAK MD. SAID (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek di IPD Kulaijaya, Johor, semalam. UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KULAIJAYA 9 Jun - Polis menumpaskan sindiket pemalsuan cukai jalan kenderaan setelah menahan seorang individu dalam serbuan di sebuah rumah di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Razak Md. Said berkata, lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai ahli sindiket berkenaan ditahan dalam satu serbuan pada pukul 8.45 malam.
“Turut dirampas ialah beberapa barangan yang dipercayai digunakan kegiatan tersebut seperti sebuah komputer, mesin pencetak dan pengimbas serta 41 dokumen cukai jalan kenderaan yang dipercayai palsu.
“Dengan tertangkapnya individu itu, kita berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan cukai jalan kenderaan yang beroperasi di negeri ini, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan sejak setahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya hari ini.
Razak berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki dan wanita di sebuah rumah Khamis lalu.
Katanya, lelaki yang bekerja sebagai ejen syarikat menjual pasir berusia 38 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu ditahan dalam serbuan yang diadakan pada pukul 12 tengah malam.
“Pemeriksaan polis menemui ketulan daun kering seberat 186.77 gram disyaki ganja. Turut ditemukan ialah dadah dipercayai syabu seberat 56 gram dan sebiji pil erimin 5 dan wang tunai RM6,750 dipercayai dari hasil jualan dadah,” katanya.
Beliau berkata, polis percaya dadah berkenaan untuk tujuan edaran di sekitar kawasan Nusajaya.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment