Search This Blog

Monday, June 22, 2015

Sinabung meletus, 10,000 pindah


AFP - GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan debu tebal menyelubungi ruang udara di Karo, Sumatera Utara, Indonesia selepas Gunung Sinabung meletus lagi minggu lalu.


BERASTAGI, Indonesia – Lebih 10,000 orang terpaksa berpindah apabila Gunung Sinabung yang meletus sejak minggu lalu semakin banyak mengeluarkan lava dan debu panas.
Bagaimanapun, dalam keadaan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, masih terdapat sebahagian besar penduduk enggan berpindah dari kediaman mereka.
Pihak berkuasa telah mula mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang berpindah seperti khemah, selimut, air bersih dan pakaian.
Tetapi sebilangan besar penduduk berkeras kembali semula ke kampung halaman kerana terpaksa bergantung hidup kepada hasil tanaman di sekitar kawasan pergunungan itu.
Penjual sayur, Syafitri Sitepu yang berpindah minggu lepas berkata, suaminya terpaksa kembali ke rumah mereka untuk menjaga hasil tanaman.
“Jika dia tidak bekerja, kami tidak ada sumber makanan dan pendapatan. Jika tiada wang bagaimana kami mahu membeli susu untuk anak,” ujarnya.
Kebanyakan penduduk berdegil tidak mahu berpindah kerana kebanyakan mereka mengusahakan penanaman cili, tomato dan kentang di kawasan tanah subur pergunungan itu.
Berikutan aktiviti Gunung Sinabung yang semakin meningkat, pihak berkuasa minggu lalu menasihatkan penduduk supaya berpindah.
Kejadian itu merupakan kali ketiga selepas letusan pada tahun 2010 dan September 2013. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3dk0aj9Wv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment