IPOH – Taktik seorang penganggur yang cuba menyembunyikan dadah terbongkar selepas satu ketulan plastik disyaki heroin ditemui dalam najis suspek terbabit pada pemeriksaan dilakukan warden penjara di sini, kelmarin.

Sumber berkata,  dalam kejadian Jumaat lalu, ketika warden sebuah pusat tahanan melakukan pemeriksaan lokap kuarantin di pusat tahanan terbabit, dia mengarahkan suspek berusia 41 tahun itu untuk membuang najis di dalam tong hitam yang disediakan pada jam 11.15 pagi.

Menurutnya, selepas proses itu selesai, seorang lagi kakitangan penjara memeriksa tong najis tersebut dan menemui satu ketulan plastik hitam disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 82 gram.

“Warden itu merampas barangan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Sumber berkata, siasatan mendapati suspek dimasukkan ke pusat tahanan itu atas kesalahan mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 16 April lalu.

Jelasnya, bagaimanapun, pada 4 Jun lalu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk menghadiri perbicaraan sebelum kembali semula ke pusat tahanan pada keesokan harinya.

“Ketika siasatan dijalankan, suspek mengaku mengambil satu ketulan berbalut plastik hitam berisi dadah jenis heroin daripada seorang tahanan lain ketika berada di sebuah lokap kira-kira jam 2 pagi semalam (kelmarin).

“Suspek dipercayai menyeludup masuk dadah itu ke dalam pusat tahanan dengan menyembunyikannya di dalam rektum,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.