Search This Blog

Thursday, June 4, 2015

Sekolah tutup akibat MERS



AFP - BEBERAPA pelajar sekolah memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga dengan wabak MERS ketika menunggu untuk melintas jalan di Seoul semalam.


SEOUL – Korea Selatan terpaksa menutup lebih 200 buah sekolah rendah selepas wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) menjangkiti 30 orang, manakala dua kes kematian mencetuskan panik dalam kalangan orang awam.
Berikutan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak itu bakal menular, Presi­den Park Geun-Hye telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama barisan pegawai kesihatan tertinggi dan pakar perubatan untuk merancang strategi kuarantin menyeluruh.
Lima kes terbaharu dilaporkan semalam menjadikannya sebagai wabak terbesar berlaku di luar Arab Saudi yang membunuh lebih 400 orang sejak 2012.
Laporan jangkitan baharu yang dikemuka­kan setiap hari menyebabkan wabak itu mencetuskan kebimbangan di seluruh negara dan kebanyakan penduduk dilihat menambah stok topeng muka dan pencuci tangan.
Berpuluh-puluh acara awam telah dibatalkan, manakala lebih 1,360 orang yang terdedah secara langsung atau tidak kepada virus tersebut te­lah dikuarantin mengikut tahap berbeza.
Geun-Hye dilapor berang dengan pegawai-pegawai kesihatan yang lambat bertindak balas apabila seorang lelaki yang dijangkiti masih dibenarkan melancong ke China meskipun telah diberi amaran oleh doktor.
MERS yang merupakan virus tanpa penawar atau vaksin itu dianggap membawa maut tetapi kurang berjangkit berbanding virus Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh beratus-ratus orang di Asia pada 2003.
Jangkitan MERS menyebabkan pelbagai simptom termasuk sakit sendi, demam selesema, pneumonia dan kegagalan ginjal.
Menteri Pendidikan, Hwang Woo-Yea berkata, sebanyak 209 buah sekolah rendah ditutup serta-merta dengan arahan khusus ketua pendi­dikan wilayah perlu memastikan keselamatan pelajar.
“Jangkitan dalam kalangan pelajar perlu dielakkan. Sekolah menjadi lokasi paling mudah jangkitan berbanding di tempat lain,” katanya.
Dua kematian yang dilaporkan sebelum ini melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun dan lelaki berusia 71 tahun.
Kes pertama berlaku pada 20 Mei lalu apabila seorang lelaki berusia 68 tahun didiagnosis dengan virus tersebut sekembali­nya dari lawatan ke Arab Saudi.
Virus MERS kini telah menjangkiti 1,161 orang secara global dengan 436 kematian.
Lebih 20 negara telah dijangkiti dengan kebanyakan kes berlaku di Arab Saudi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3c2VooVtH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment