Sumber polis Thailand membe­ritahu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pihak berkuasa asing terutama Malaysia yang mempunyai jalinan baik dari segi pertukaran maklumat jenayah rentas sempadan.
“Walaupun tangkapan dan siasatan terhadap Xavier Justro kini dibuat mengikut undang-undang Thailand, pihak berkuasa Malaysia juga boleh menyalurkan maklumat berguna kerana difahamkan ada pihak di negara itu (Malaysia) turut menjadi mangsa akibat perbuatan suspek.
“Bagaimanapun, buat masa ini kita belum menerima maklumat ataupun permintaan rasmi,” kata­nya ketika dihubungi di sini.
Akhbar hari ini melaporkan beberapa individu di Malaysia dipercayai terlibat meminta Xavier Justo yang ditahan pihak berkuasa Thailand Isnin lalu supaya memanipulasi fakta yang diperoleh menerusi syarikat berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendedahan itu diperoleh hasil pengakuan awal Xavier Justo yang disoal siasat polis Thailand.
Mengenai keperluan untuk mengesktradisi beberapa individu dari Malaysia untuk membantu siasatan, sumber yang merupakan sebahagian daripada pasukan siasatan itu memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan berbuat demikian.
“Kita kena lihat dulu maklumat yang diberikan, jika lengkap dan cukup maka tiada keperluan ekstradisi. Apa yang penting sekarang adalah pertukaran maklumat antara kedua-dua pihak,” jelasnya.
Xavier Justo ditahan sepasukan anggota Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Diraja Thailand (CSD) di sebuah rumah mewah di Ban Bang Makham, Tambon Angthong di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.
Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).
Xavier Justo dikatakan pernah menandatangani satu kontrak de­ngan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit selain dibayar pampasan berjumlah lebih RM15 juta semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, polis mendapati Xavier Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini ke­rana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM10 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.