Search This Blog

Thursday, June 4, 2015

Ribut terburuk dalam sejarah



beberapa pekerja membaik pulih bumbung rumah yang rosak akibat kejadian ribut di Taman Indah Jaya, Kluang semalam.


KLUANG – Kejadian ribut yang melanda beberapa buah kampung dan taman perumahan di sekitar Kluang kelmarin disifatkan sebagai bencana alam pa­ling buruk dan pertama kali berlaku di daerah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penera­ngan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday berkata, nilai kerugian akibat ribut yang berlaku selama kira-kira lima minit tersebut dianggarkan kira-kira RM2.04 juta setakat ini.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian itu.
“Majlis Agama Islam Kluang juga menyalurkan peruntukan seba­nyak RM600,000 melalui wang zakat kepada semua
mangsa yang beragama Islam.
“Kerajaan negeri juga memohon bantuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu daripada segi memperbaiki kerosakan rumah,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan perumahan di Taman Indah Jaya di sini semalam.
Sementara itu, seorang mangsa ribut di Taman Indah Jaya, Malek Saif, 60, berkata, ketika hujan lebat pada pukul 6 petang kelmarin, dia dan isteri serta seorang anak lelakinya sedang duduk berehat di ruang tamu rumah.
“Tiba-tiba saya terde­ngar bunyi bising di luar dan sebaik sahaja pintu rumah dibuka, saya melihat angin kencang diikuti dengan beberapa atap zink dan bumbung rumah melayang di udara.
“Kejadian selama tiga minit tersebut bagaikan kiamat kecil dan saya ha­nya fikir mati ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Sementara itu, Mahari Ahmad, 46, yang turut me­nyaksikan kejadian tersebut di hadapan matanya menceritakan, dia hanya terpaku sambil melaungkan azan agar tiada sebarang kejadian buruk berlaku.
Kosmo! semalam me­laporkan, lebih 150 buah rumah rosak manakala puluhan pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut yang melanda beberapa buah kampung sekitar daerah Kluang.
Kejadian pada pukul 5 petang itu menimbulkan suasana panik kepada lebih 500 penduduk di Kampung Paya, Kampung Tengah, Taman Ilham di Kluang manakala di Taman Kota, Paloh berlaku banjir kilat selain bekalan elektrik turut terputus.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3c2WXMY8W 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment