Perintah tahanan reman itu yang berkuat kuasa hari ini, dikeluarkan oleh Majistret Nurul Asyifa Redzuan di Mahkamah Majistret di sini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dijalankan.
Ini bagi membolehkan untuk mengesan rantaian sindiket berkenaan yang didakwa melibatkan orang tengah termasuk rakan-rakan suspek yang turut dikatakan menerima agihan suapan tersebut.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, pihaknya percaya sekurang-kurangnya 10 tahanan pemegang kad UNHCR telah menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan melibatkan etnik Rohingya dan Chin dari Myanmar, Yemen dan Iran.
Menurutnya, sindiket tersebut yang turut dipercayai mempunyai rangkaian di negeri Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, disyaki telah meminta wang suapan sebagai balasan untuk membebaskan tahanan-tahanan di depot berkenaan.
Modus operandinya ialah dengan meminta suapan daripada waris serta kenalan tahanan berkenaan di negara ini untuk dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank yang diurus serta diagihkan wangnya oleh orang tengah.
“Hasil siasatan mendapati ada antara tahanan ini yang ditahan sehingga dua tahun tanpa dimaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Malahan, antara empat suspek ditahan itu, ada yang sengaja mematahkan kad UNHCR pelarian berkenaan untuk menyumbat mereka ke dalam tahanan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, keempat-empat suspek berkenaan yang berusia dalam lingkungan umur 30-an telah ditahan di depot tersebut pada pukul 11 pagi semalam.