Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, motif kejadian masih dalam siasatan memandangkan kedua-dua mangsa tidak mempu­nyai rekod jenayah.
“Buat masa ini polis sedang menjejaki mereka. Difahamkan suspek mempunyai kaitan dengan mangsa.
“Bagaimanapun polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung perkembangan kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa A. Shamnson dan A. Rubban Avudayar maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki di hadapan sebuah kedai serbaneka.
Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan menghantar kad undangan perkahwinan salah seorang daripada mereka sebelum didatangi suspek.
Sejurus itu, suspek terus menghalang motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa sebelum salah seorang dari suspek melepaskan lima das tembakan.
Mengulas lanjut, Razimi memberitahu, siasatan di lokasi kejadian turut menemukan lima kelongsong peluru berhampiran dengan motosikal mangsa.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.